MAHKAMAH Agung Pakistan menangguhkan sekali lagi pendengaran membantah keputusan pembubaran Parlimen yang dibuat Perdana Menteri Imran Khan pada Ahad.

Ia merupakan penangguhan kali ketiga yang dibuat oleh panel lima hakim mahkamah itu, selepas pembangkang mencabar pembubaran Parlimen dan penolakan usul tidak percaya yang dibuat Timbalan Speaker Qasim Suri.

Qasim ketika membuat keputusan menolak usul undi tidak percaya itu memberikan alasan usul tersebut tidak berperlembagaan.

Semasa prosiding pada Rabu, peguam bela Ali Zafar, yang mewakili Presiden Arif Alvi, mempersoalkan bidang kuasa mahkamah kerana menerima kes pembangkang.

Sebelum ini, Imran mendakwa usul undi tidak percaya terhadap beliau merupakan sebahagian konspirasi diketuai Amerika Syarikat (AS) untuk menjatuhkan kerajaan pimpinannya, namun dakwaan tersebut dinafikan AS.

Dalam pada itu, sekumpulan lebih daripada 100 ahli akademik, wakil masyarakat sivil dan rakyat biasa telah menulis surat terbuka kepada Ketua Hakim Negara Pakistan bagi mengemukakan kebimbangan besar mereka terhadap krisis politik dan Perlembagaan yang sedang berlaku.

Antara lain isi kandungan surat itu berkata: "Kami telah melihat dengan penuh kesedihan, tindakan agresif dan menghina di mana Perlembagaan Pakistan telah dilanggar oleh kerajaan.

"Kehormatan dan kesejahteraan generasi akan datang kita terletak pada pematuhan kepada Perlembagaan. Hari ini, kami meletakkan semua harapan kami kepada yang arif untuk menegakkan Perlembagaan dan berdiri bersama rakyat Pakistan pada masa yang memerlukan ini."

Ketika sesi penghujahan di Mahkamah Agung, peguam Imran yang juga bekas Menteri Undang-Undang, Babar Awan berkata pilihan raya merupakan jalan penyelesaian kepada krisis politik di negara tersebut.

Sementara itu, Jurucakap Liga Muslim Pakistan-Nawaz (PML-N) Marriyum Aurangzeb mendakwa, Imran telah berbohong tentang dakwaan campur tangan asing untuk menjatuhkan beliau.

"Beliau (Imran) tidak mempunyai bukti untuk menyokong dakwaannya," kata Marriyum.

Dalam pada itu, Presiden Pakistan telah meminta Suruhanjaya Pilihan Raya Pakistan (ECP) menetapkan tarikh bagi pilihan raya umum dilaksanakan.

Menerusi satu surat, Pejabat Presiden Pakistan menegaskan pilihan raya umum perlu dilakukan dalam tempoh 90 hari selepas Parlimen dibubarkan.

Pada Selasa, ECP dilaporkan berkata adalah mustahil untuk mengadakan pilihan raya dalam tempoh tiga bulan.